Utama   |   Info  >  Sekolah

KATA ALU-ALUAN PENGETUA


Assalamualaikum wr wb dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan rahmatNya dapat lagi kita bersama-sama berada di sekolah ini untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini bagi sesi 2017. Selamat kembali semula ke sekolah, semoga semangat serta iltizam kita semakin bertambah untuk bersama-sama membawa sekolah ini terus ke era kegemilangan. Saya juga amat berharap agar semua guru dan staf sekolah ini dapat terus mengekalkan kebanggaan sebagai sebahagian daripada warga SAS dan terus berasa seronok bertugas di sekolah ini. Pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi dalam tahun 2015 adalah hasil sokongan, kerjasama, komitmen serta sumbangan gigih saudara saudari dan amatlah diharapkan agar dapat diteruskan lagi pada tahun 2017 ini. Sebagai salah sebuah "School Of Global Excellence" (SGE) yang telah memasuki tahun yang ke-4 pada tahun ini, kita akan terus melipatgandakan lagi usaha untuk mencapai Visi yang diharapkan dengan melakukan penambahbaikan dalam semua aspek agar menjadi sebuah sekolah yang "Terbaik Dalam Kalangan Yang Terbaik". Antara cabaran-cabaran yang perlu ditangani pada tahun ini adalah seperti berikut:

  1. Kecemerlangan Akademik
    1. Berada di ranking teratas dalam peperiksaan dan penilaian bersama SBP
    2. Mengurus dengan cemerlang isu DEG
    3. Sifar Gred G dalam PPT 2017
  2. Pembinaan Personaliti Diri Pelajar (Character Building)
    1. Mengutamakan Kekemasan Diri dan Ketrampilan
    2. Mengutamakan Ketepatan Masa dan Kebersihan
    3. Mengutamakan Kemantapan Komunikasi dan Perhubungan
  3. Kesediaan melaksanakan Dasar-Dasar KPM dan Kerajaan
    1. Kurikulum Standard Sekolah Menengah
    2. Proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21
    3. Perubahan Paradigma Guru sebagai Fasilitator
  4. Kesediaan melaksanakan Dasar-Dasar Sekolah
    1. Dasar Akademik (30/50 untuk wakili sekolah)
    2. Dasar HEM (Sifar Buli: Ikrar Anti Buli, 2R: Respect, Responsibility)
    3. Dasar KO (Syarat Asas Keahlian dan Mewakil Sekolah)

Cabaran-cabaran ini perlu ditempuhi dengan penuh tanggungjawab, jujur, ikhlas dan bergerak sebagai satu pasukan yang hebat dan mantap. Bersedialah untuk bantu membantu antara satu sama lain dan jadikanlah profesyen kita ini satu profesyen yang menarik dan menyeronokkan. Semoga ganjaran bulanan yang kita perolehi itu dihalalkan oleh Allah SWT dan marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa agar tahun 2017 ini akan menjadi tahun gemilang kepada SAS yang disayangi ini.

Sekian, terima kasih.

(DATO' HAJI HAIDZIR BIN HUSSIN, DIMP, SMP.)
Pengetua Cemerlang

SEJARAH SEKOLAH


Slideshow Pembinaan SAS Putrajaya
Penubuhan Sekolah Alam Shah merupakan salah satu hasil kejayaan pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Penyata Razak pada tahun 1958. Pada ketika itu, Sekolah Alam Shah merupakan sekolah menengah aliran melayu yang pertama mengadakan kelas tingkatan enam dan juga merupakan jambatan pertama pelajar-pelajar aliran melayu melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi. Pada 7 Februari 1963 sekolah ini telah dibuka pertama kali untuk sesi persekolahan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahudin Abdul Aziz ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj telah merasmikan pembukaan sekolah ini.

Bermula dari tahun 2001, kerja-kerja pembinaan Sekolah Alam Shah Putrajaya dijalankan di atas tanah seluas 24 hektar yang menelan belanja RM 54 juta dan ia merupakan antara sekolah SBP yang termahal pernah dibina. Perpindahan Sekolah Alam Shah merupakan hasil persetujuan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Bin Mohamad daripada cadangan bekas pelajar SAS Tan Sri Shamsuddin bin Hitam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia. Perdana Menteri menyatakan hasrat beliau untuk mengadakan sekolah terunggul di Putrajaya.

Setelah 40 tahun mencipta kecemerlangan di tapak Kuala Lumpur, Sekolah Alam Shah meneruskan kegemilangan residensi yang lebih berprestij iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya. Tanggal 26 April 2003 menyaksikan 652 pelajar SAS berhijrah ke kampus baru. Lokasi Sekolah Alam Shah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan membuktikan taraf elit tertinggi antara sekolah-sekolah di Malaysia.

Slideshow Perasmian SAS Putrajaya
Pada tanggal 25 Mac 2006 Sekolah Alam Shah melakar sejarah sekali lagi apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Selangor perkenan untuk memilih nama baru bagi Sekolah Alam Shah iaitu Sekolah Sultan Alam Shah bersempena dengan nama nenda baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga telah berkenan menjadikan Sekolah Sultan Alam Shah di bawah naungan Sultan Selangor melalui surat bertarikh 7 Ogos 2006.

Kecemerlangan dan kegemilangan Sekolah Sultan Alam Shah tidak berhenti begitu sahaja kerana sekali lagi peristiwa bersejarah dilakarkan apabila Sekolah Sultan Alam Shah telah diisytiharkan sebagai Sebuah Sekolah Kluster Cemerlang di negara ini pada tarikh 30 Mac 2007 oleh YB Dato' Sri Hishamudin bin Tun Hussin, Menteri Pelajaran Malaysia. Pada 25 Jan 2011, Sekolah Sultan Alam Shah terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Pada 7 Februari 2013, sekolah ini mengadakan perayaan jubli emas sempena 50 tahun penubuhannya dengan kehadiran perdana menteri Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak dan presiden Perbadanan Putrajaya Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Aseh Che Mat.

MISI & VISI SEKOLAH


Misi dan Visi SAS
Misi dan Visi SAS

OBJEKTIF SEKOLAH


Bagi mencapai hasrat bersama, kita ingin melahirkan generasi pelajar yang memenuhi ciri-ciri berikut:

  • Beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T.
  • Kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum
  • Berakhlak dan berbudi pekerti mulia.

FALSAFAH SEKOLAH


Paduan antara ilmu, iman dan amal
adalah dasar utama dalam pembinaan intelek,
rohani dan jasmani kearah
melahirkan insan pelajar yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap diri,
sekolah dan masyarakat.

PENJELASAN LOGO


  • Obor - Pendidikan dan Bimbingan
  • Buku - Ilmu pengetahuan
  • Bulan Bintang - Negara, Agama Islam dan Rukun negara
  • Warna Kuning - Waspada
  • Warna Biru - Ketenangan
  • Warna Putih - Kesucian
  • Warna Merah - Keberanian

 

PENJELASAN BENDERA


  • Warna Biru - Perpaduan & Ketenangan
  • Logo Sekolah - Kedudukan di tengah menunjukkan penerimaan pendidikan secara menyeluruh

LAGU SEKOLAH


"Alam Shah Jaya"

Lirik ditulis dan digubah oleh guru Indonesia, Oscar H. Batoebara.

Sekolah Alam Shah megah berjasa

Membimbing satria harapan bangsa

Cita, Usaha Jaya amalan kita

Jadi cogan kata setiap masa

Pelajar Alam Shah taat berbakti

Untuk nusa dan bangsa ibu pertiwi

Tuhan merestukan cita-cita mulia

Bertekad dan berdoa Alam Shah jaya